Saya sebuah gitar klasik yang berjantina betina. Nama saya Kawos (kapok = kawos = padan muka dalam bahasa jawa). Rupa saya ada iras-iras Fauziah Ghous. Saya mempunyai kepala, enam telinga, enam anting-anting (tali), leher panjang dan badan yang ramping. Saya juga mempunyai lubang besar di tengah dada saya. Saya dilahirkan di China, tetapi kemudiannya saya dieksport ke Malaysia. Saya dipamer dan dijual di Mydon dengan harga RM50 saja.
Pada suatu hari, saya dibeli oleh seorang lelaki belasan tahun bernama Redza. Dia seorang pelajar sekolah dan juga seorang pemuzik bawah tanah. Dia adalah gitaris utama untuk kugiran Tiger Red yang membawa genre muzik Nu-Metal. Nama kugirannya sama tahap kepadyapaannya dengan kugiran idolanya, Dragon Red, yang juga membawa genre Nu-Metal. Tapi kugiran Tiger Red itu masih baru, baru nak up orang kata.
Semenjak dari hari saya dibeli, saya tidak pernah lekang dari pelukan Redza. Rasa macam menghampiri zina pun ada. Dipetik-petiknya anting-anting saya tiap masa. Ngilu rasanya! Macam nak putus pun ada telinga ni. Tapi lama kelamaan saya seakan jatuh cinta dengan Redza walaupun saya tahu cinta ini adalah cinta terlarang. Saya berasa tenang bila berada dalam dakapan Redza, di atas ribanya, walaupun bau tengik ketiaknya agak menganggu.
Setahun telah berlalu, pelbagai kenangan manis telah kami lalui bersama. Namun, Redza yang kini bekerja sementara di Kengkaki Fried Cicak telah pun membeli gitar baru. Lebih mahal daripada saya, lebih canggih daripada saya, gitar elektrik jenisnya, Sfender namanya, jantan jantinanya. Gay betul! Kini saya telah dipinggirkan. Saya hanya diletakkan di bawah katilnya. Sudah lah saya takut dengan hantu. Jilaka betul.
Pada suatu hujung minggu, Redza membawa saya bersama Sfender ke sebuah gig di ibu kota. Tiger Red akan mengadakan persembahan pertamanya di situ. Bila tiba giliran mereka mengadakan persembahan, saya masih dipinggirkan. Redza membuat persembahan bersama Sfender, sedangkan saya diletakkan di tepi pentas saja. Bila dilihat pada persembahan mereka, agak berterabur juga persembahan mereka. Tak tight orang kata. Tiga buah lagu cover mereka sampaikan.
Bila lagu yang terakhir hampir tamat, sedang mereka menggoreng-goreng, Redza menghampiri saya. Dipegangnya leher saya. Tercekik saya dibuatnya. Dia berlari menuju ke tengah pentas lalu menghempas badan saya pada pentas dengan penuh garang. Mengucap panjang saya ketika itu. Saya tahan sakit. Dah nazak dah. Tahu dah dia ni nak tunjuk hebat, tapi tak berani nak hempas gitar mahal. Babiuk. Dengan izinNya, ketika dia sibuk menghempas gitar, keenam-enam anting-anting saya tiba-tiba terputus lalu melibas muka Redza. Saya dan Redza mati di tempat kejadian.
P/S: Tahukah anda,
Kapok sebenarnya adalah jenama gitar buatan China, tapi perkataan kapok tu terus digunakan orang kita untuk gitar klasik.